PESAKIT JANTUNG DIUGUT? Utusan Malaysia 24 Jun 2011. BULAN lepas sewaktu saya sedang menjalani rawatan angiogram (rawatan memeriksa saluran jantung) di Hospital Serdang, doktor yang bertugas menyatakan salah satu saluran jantung saya tersumbat.
Walaupun ia boleh menggunakan belon, namun atas nasihat pakar, beliau mengesyorkan penggunaan alat stent buatan Perancis lebih praktikal, dengan kos RM5,500.Persoalannya, kenapa sewaktu dalam operasi begini, ketika seorang pesakit sedang memperjuangkan nyawa, soal jawab yang membabitkan wang diajukan oleh doktor tersebut kepada saya, sedangkan sebarang kemungkinan akan berlaku pada saya yang menyebabkan komplikasi.Hampir satu jam di bilik pembedahan, dalam situasi cemas dan gelisah, akhirnya operasi memasukkan tiub di saluran jantung selamat dijalankan melalui paha kanan tanpa pembedahan, kemudian katil saya diasingkan di satu sudut.Tidak sampai lima minit, tiba-tiba saja datang seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ejen pembekal stent (tiub), lantas menyuruh saya menandatangani satu borang.Sedangkan bilik pembedahan kardiologi ini tidak membenarkan sesiapa pun masuk, walau keluarga terdekat sekalipun.Tertanya di fikiran saya, kenapa beliau bebas memasuki bilik pembedahan ini? Dan kenapa cepat sekali ejen tersebut boleh sampai kepada saya?Dalam keadaan separuh kewarasan, keletihan akibat kekurangan darah dan berpuasa hampir 24 jam, sebagai warga tua (53 tahun) saya masih sempat membaca dokumen tersebut. Sistem pembayarannya adalah berperingkat sehingga akhir tahun ini, tanpa syarat-syarat lain. Akhirnya, saya menyetujui prasyarat tersebut.Tetapi, selepas tiga hari saya keluar dengan kesihatan jantung semakin pulih, rupanya tidak berpanjangan, kini jantung saya 'kembali sesak', ejen tersebut sudah mula memanggil saya bertanyakan pembayaran. Walaupun alasan saya untuk membayarnya dalam masa sebulan lagi (selepas saya benar-benar sihat) namun ugutan diberikan amat memeranjatkan.Menurutnya, beliau akan mengenakan 10 peratus cas tambahan bagi setiap bulan atas kelewatan (semua kenyataan ugutan SMSnya dalam simpanan saya).Seminggu kemudian, ejen tersebut menghubungi saya lagi, kali ini jika saya tidak membuat sebarang bayaran dalam seminggu, nama saya akan disenaraihitamkan oleh Hospital Serdang. Kini fikiran saya benar-benar terganggu akibat kejadian ini.Untuk pengetahuan pihak Kementerian Kesihatan, sahabat yang satu wad dengan saya ketika di hospital, terpaksa menjual kereta Kancil dengan harga RM16,500, untuk membeli tiga stent, demi tiga saluran jantungnya yang tersumbat.Walaupun kereta itu terlalu penting untuk beliau berniaga. Ini disebabkan pihak ejen bertali arus memanggil beliau untuk membuat bayaran.Sebagai warga tua yang telah berjasa kepada pembangunan Malaysia, melalui penulisan dan produksi dokumentari, saya rasa kejadian ini amat mendukacitakan.Sebahagian dari umur ini masih lagi berkhidmat dalam dunia kewartawanan demi menyokong cita-cita kerajaan, tapi terasa satu penghinaan oleh pihak hospital kerajaan juga.Walaupun isteri saya seorang kakitangan kerajaan (guru), namun saya tidak memerlukan surat sokongan untuk mengurangkan ataupun melupuskan bayaran ini.Sebagai seorang individu yang boleh bekerja lagi, bayaran ini akan saya lunaskan daripada titik peluh saya, masih banyak pesakit lain yang memerlukan peruntukan kewangan sebanyak itu (RM5,500).Di sini saya ingin penjelasan dari pihak pengurusan Hospital Serdang, khasnya Menteri Kesihatan, di manakah slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan?Di manakah hak hospital sehinggakan pihak ejen tersebut berhak 'menyenarai hitam' pesakit? Apakah pihak Kementerian Kesihatan peka tentang kejadian ini, sehingga ada pihak luar mendominasikan situasi ini?Harapan saya, kelemahan ini dapat diperbaiki demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi saat-saat mautnya di mana-mana hospital kerajaan.
WARGA TUA Puchong
No comments:
Post a Comment
Please Say Or Write Something, Thank You !