PAS menyatakan penghargaannya kepada pengundi Cina yang sanggup mengenepikan sentimen perkauman dan memilih calon Melayu Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 5 Mei.Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata trend yang dilihat di berpuluh kawasan kerusi parlimen dan DUN itu menunjukkan bahawa dakwaan Umno bahawa pengundi Cina menolak calon Melayu adalah satu fitnah.

Oleh yang demikian, beliau melihat bahawa usaha untuk menimbulkan pengundi Cina menolak calon Melayu sebagai usaha untuk membangkitkan kebencian antara kaum.

“Pengundi cina sanggup memberi undi kepada calon Melayu tanpa sentimen perkauman sempit sebagaimana yang didakwa oleh Umno.

“Terdapat berpuluh kerusi parlimen dan DUN yang ditandingi oleh calon Melayu melawan calon dari kaum Tiong Hua dalam kawasan campuran dimenangi oleh calon Melayu, membuktikan pengundi Cina sanggup menolak calon dari kaum mereka sendiri.

“Ini sekaligus membuktikan dakwaan  bahawa pengundi cina menolak melayu hanyalah fitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Umno harus menghentikan usaha yang menurutnya tidak berasaskan fakta sebenar itu.

“PAS mengingatkan Umno agar jangan bermain api perkauman dengan keputusan pilihanraya ke 13, dengan mengapi-apikan isu Cina menentang Melayu.

“Sentimen perkauman ini sedang ditiup kuat oleh media perdana bagi menutup pandangan rakyat terhadap penyelewengan PRU13 serta kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendapat mandat yang lebih besar sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum PRU13.”

Sementara itu ketua penerangan PAS Pahang Suhaimu Md Saad dalam satu kenyataan berbeza menjelaskan bahawa kemenangan besar DAP dalam pilihan raya umum 5 Mei tidak menjejaskan jumlah wakil Melayu di Parlimen.

Malah, Pakatan berjaya menyumbang tujuh lagi calon wakil Melayu di Parlimen.

Beliau seterusnya menyenaraikan calon Melayu Pakatan dari PKR, DAP dan PAS yang berjaya menewaskan pencabar BN, termasuk dari kaum Cina.

  • Rafizi Ramli (PKR) menewaskan Gary Lim (BN) di Pandan)
  • Dr Siti Mariah Mahmud (PAS) menewaskan S Murugesan (BN) di Kota Raja
  • Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) menewaskan Tan Kok Eng (BN) di Bandar Tun Razak
  • Imran Hamid (PKR) menewaskan Kong Cho Ha (BN) di Lumut
  • Mohd Ariss Sabri Abdul Aziz (DAP) menewaskan Hoh Khai Mun (BN) di Raub
  • Idris Ahmad (PKR) menewaskan K Parthiban (BN) di Ijok
  • Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP) menewaskan Chuah Boon Seong (BN) di Mentakab
  • Mohd Rashid Hasnon (PKR) menewaskan Wong Mun Hoe (BN) di Pantai Jerejak
Mengulas lanjut, beliau juga berkata bekas menteri besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman “mencari penyakit” kerana bertanding menentang pemimpin DAP Lim Kit Siang di Gelang Patah – kerusi majoriti Cina yang sebelum ini dikuasai MCA.

Suhaimi juga menyenaraikan 13 lagi kerusi dengan majoriti pengundi Melayu yang dimenangi calon BN.

Antaranya adalah Simpang Renggam ((57% Melayu), Tanjung Piai (51%), Batu Sapi ( 51%), Gurun (57%) dan Kahang (74%).