1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) berpandangan sudah sampai masanya untuk mengkaji semula penggunaan nama Melayu pada nama UMNO (United Malay National Organization) berdasarkan situasi hari ini bahkan tidak menolak kemungkinan bahawa istilah tersebut perlu ditarik balik dan dihalang dari digunakan oleh UMNO.
2. Ini kerana jelas terbukti bahawa UMNO telah mengkhianati bangsa Melayu sekian lama dengan pelbagai dasar pragmatik yang diamalkan sehingga ke hari ini. Di antara pengkhianatan UMNO yang jelas kepada bangsa Melayu ialah dengan mengubah mengubah persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 selepas tewas dalam banyak kerusi majoriti Melayu dalam pilihanraya 1999. Kelantan, Terengganu dan Kedah masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus dan 17.4 peratus tetapi tidak ada pertambahan kerusi. Manakala negeri-negeri di pantai barat, selatan, Sabah dan Sarawak yang bukan majoriti Melayu ditambah kerusi Parlimen pada persempadanan tersebut. Sehingga ke hari ini, pemimpin UMNO gagal menjelaskan kenapa mereka tidak mengambil kesempatan daripada persempadanan tersebut untuk menambah kerusi Melayu di Parlimen!
3. Selain itu, UMNO juga yang bertanggungjawab memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 yang ditentang hebat oleh seluruh cendikiawan Melayu. Anak-anak Melayu di luar bandar menerima kesan kemerosotan akademik hasil daripada dasar yang dianggap gila oleh Prof DiRaja Ungku Aziz ini. Pemuda PAS telah menyaman Kementerian Pendidikan dalam isu ini. Saudara Hasni Abas, Pengerusi Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) telah berjumpa dengan Pemuda PAS bagi membangkitkan gerakan untuk memansuhkan PPSMI pada akhir tahun 2008. Pejuang-pejuang bahasa seperti Dato A. Samad Said, Dato Hassan Ahmad, Dr Shahrir Mohd Zin , Prof Emeritus Abdullah Hassan dan ramai lagi bersama Pemuda PAS menubuhkan Gerakan Rakyat Membantah PPSMI (GMP). PAS telah mengarahkan semua ahlinya turun dalam Himpunan 100 ribu rakyat membantah dasar PPSMI pada 7hb Mac 2009 di Kuala Lumpur. Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan pimpinan utama PAS yang lain telah bersama dalam himpunan ini. Akhirnya dasar ini terbukti gagal dan ditarik balik sekarang. Negara kerugian hampir RM5 billion kerana langkah ‘tidak cerdik’ UMNO ini.
4. Begitu juga dengan kegagalan UMNO untuk memperuntukkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada orang Melayu sekalipun UMNO mendapat majoriti di DUN Pulau Pinang berbanding MCA dan GERAKAN. Satu perkiraan politik yang cukup bacul sekali lagi berlaku apabila jawatan Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang diberikan dengan hormatnya kepada Setiausaha Agung GERAKAN, Teng Chang Yeow sedangkan GERAKAN tewas begitu teruk di Pulau Pinang di dalam pilihanraya umum yang lepas berbanding dengan UMNO. Hairannya, tidak kedengaran pejuang-pejuang Melayu yang hebat menjulang keris membantah keputusan ini.
5. Hakikatnya, banyak lagi senarai pengkhianatan UMNO kepada bangsa Melayu boleh disenaraikan sepanjang lebih 50 tahun UMNO menjadi tulang belakang kerajaan Malaysia pada hari ini. Sesuai dengan namanya sendiri di dalam bahasa Inggeris, UMNO sewajarnya menerima hakikat bahawa parti itu bukan lagi mewakili Melayu bahkan tidak berhak untuk mendakwa memperjuangkan bangsa Melayu.
6. Justeru, DPPNK menggesa agar nama Melayu yang dipakai di dalam nama UMNO dikaji balik dan dibuang terus sebagai mengelakkan salah faham masyarakat terhadap perjuangan UMNO yang pada hakikatnya tidak pernahpun meletakkan agenda perjuangan Melayu sebagai agenda utama.
Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)
Salam,
ReplyDelete...dan membunuh tulisan Jawi!