Hukum berkorban adalah sunat muakkad daripada Rasulullah SAW. Baginda berkorban untuk dirinya dengan dua ekor kambing yang gemuk dan bertanduk. Baginda juga pernah berkorban untuk Baginda dan keluarga dengan mengucapkan: “Ya Allah, ini adalah korban dari Muhammad dan keluarganya.”
Baginda juga pernah berkorban untuk umatnya yang tidak mampu berkorban. Waktu berkorban bermula selepas selesai solat Aidiladha. Jika penyembelihan dilakukan sebelum solat sunat Aidiladha, maka ia tidak dianggap sebagai korban.
Nabi SAW menyebut bahawa haiwan yang disembelih sebelum solat hari raya adalah sembelihan daging biasa, bukan ibadat korban.
Seandainya disedekahkan seluruh dagingnya ia hanya akan memperoleh pahala sedekah saja bukan pahala korban. Korban ibadat yang sudah dibataskan dengan ketentuan dan waktunya oleh Allah SWT.
Sekiranya ada orang yang menyembelih korban pada malam hari raya, maka ia suatu kekeliruan, mengabaikan sunnah dan mensia-siakan pahala korban. Jika itu berlaku lebih-lebih lagi bagi orang yang memahami, maka ia hendaklah mengulangi sembelihan setelah solat hari raya. Apalagi jika korban itu kerana nazar, maka hukum mengulanginya adalah wajib.
Sembelih sebelum zuhur
Oleh itu, penyembelihan haiwan korban adalah pada hari raya iaitu hari pertama, kedua dan ketiga bahkan ada yang mengatakan boleh menyembelih pada hari keempat iaitu akhir hari tasyriq. Namun yang lebih utama, hendaklah menyembelih korban hingga waktu zawal (tergelinci matahari ke barat).
Apabila tiba waktu Zuhur sedangkan dia belum menyembelih korbannya, sebaiknya ia menunda untuk hari kedua (keesokan harinya). Tetapi sebahagian imam ada yang mengatakan boleh (sah) menyembelih binatang korban itu selepas zawal, baik pada waktu malam mahupun siang hari.
Dr Yusuf al-Qaradawi berpandangan, tidak perlu menyembelih korban secara serentak pada hari pertama Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah supaya daging korban tidak berlebihan pada hari itu.
Bagi yang belum menyembelih pada hari pertama boleh melakukannya pada hari kedua dan ketiga. Boleh jadi masih ada sebahagian yang memerlukan daging pada hari kedua atau ketiga berbanding hari pertama. Daging juga dapat dibahagikan sama rata.
Boleh korban untuk orang lain
Haiwan yang layak dikorban ialah unta, lembu dan kambing kerana ia termasuk jenis an’am (binatang ternak). Seekor kambing boleh dijadikan korban untuk seorang dan yang dimaksudkan seorang di sini ialah seorang dan keluarganya.
Nabi SAW ketika menyembelih korban berkata: “Ini daripada Muhammad dan keluarganya.”
Abu Ayyub berkata: “Pada zaman Nabi SAW, seseorang di antara kami biasa berkorban dengan seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya sehingga mereka berlumba-lumba seperti yang kamu lihat.”
Seekor lembu atau unta dapat digunakan untuk tujuh orang. Satu pertujuh seekor unta cukup untuk seorang, tujuh orang dapat dihimpun untuk berkorban dengan seekor lembu atau seekor unta.
Syaratnya lembu itu tidak kurang dua tahun atau unta tidak kurang lima tahun. Bagi kambing umur minimum adalah satu tahun.
No comments:
Post a Comment
Please Say Or Write Something, Thank You !