Laundry is the only thing that should be separated by color.
~Author Unknown~
Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Dato' Sri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen hari ini adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Malah, bermula pada
kadar 6%, adalah sangat melampau. Perbandingan pelaksanaan GST yang
dilaksanakan di Singapura pada kadar 7% sekarang ini juga adalah cubaan
mengelirukan rakyat kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan
kadar hanya 3%, sejak 13 tahun yang lalu.
Dalam apa keadaan pun,
membuat perbandingan dengan negara seperti Singapura dan negara-negara
Eropah adalah sia - sia disebabkan tahap urus tadbir yang baik jauh
lebih tinggi di negara - negara tersebut.
Bagi rakyat Malaysia,
kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST. Dengan adanya cukai
ini, beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan
mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga
sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.
Hujah Najib bahawa GST
akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah
bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat.
Majoriti rakyat tidak
akan dapat memanfaatkan GST dengan penjimatan ataupun pelaburan seperti
golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ini akan mewujudkan jurang yang
lebih nyata dan menyebabkan ketidakadilan sosial yang lebih
berpanjangan.
Jika belanjawan tahun
lalu adalah belanjawan rakyat disebabkan pilihanraya bulan Mei lalu,
maka yang ini merupakan belanjawan orang kaya kerana kerajaan UMNO dan
Barisan Nasional merasakan ia sudah tidak lagi terhutang budi kepada
rakyat.
Mereka lewatkan GST
kerana mereka tahu rakyat akan membantah dan kini selepas pilihan raya
mereka melaksanakannya. Maka Belanjawan 2014 ini hanya akan melebarkan
kesenjangan ekonomi rakyat. Jurang kaya - miskin, gini - coefficient rakyat akan terus meluas.
Selain itu, saya meramalkan tekanan inflasi yang bakal menimbun serta kos sara hidup yang kian meningkat.
Dorongan untuk memacu
sektor pelancongan, dengan membina lebih banyak hotel bertaraf lima
bintang dan bersaing dengan dunia untuk memiliki bandar terhebat tidak
memberi kelebihan dan kemakmuran kepada rakyat.
Di mana usaha Kerajaan
untuk merendahkan kos pengangkutan atau memperbaiki pengangkutan awam ?
Tidak ada disebut tentang perumahan mampu milik. Malah program
kesihatan rakyat terus diabaikan.
Meskipun peruntukan
yang diumumkan amat substansial, namun yang masih menjadi permasalahan
adalah pengagihan dan penggunaan dana tersebut. Perbelanjaan negara
tahun lalu tentang latihan Bahasa Inggeris sahaja sudah cukup menjadi
contoh bagaimana pembaziran berlaku.
Dana keusahawanan
melalui pinjaman mudah bagi mengurangkan pengangguran di kalangan
graduan hanya akan menjurus kepada nilai hutang yang semakin memuncak.
Apa yang diperlukan oleh graduan - graduan ini adalah kemahiran 'soft skill' dan
lebih banyak latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan
kebolehan mereka diambil bekerja, bukan hutang yang lebih banyak.
Cadangan untuk memberi dana kepada pelajar lepasan SPM untuk latihan
kemahiran adalah baik dari segi prinsip, akan tetapi yang lebih
signifikan adalah soal pelaksanaan serta pengkhususan di lapangan.
Kita semua setuju
bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan, tetapi memeras lebih banyak
wang daripada rakyat bukanlah caranya. Masalah asas adalah soal
ketirisan, pembaziran dan rasuah. Dengan menangani masalah ini secara
tidak komprehensif, kita tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah
yang tidak akan berkesudahan. Masalah ini tidak mampu diselesaikan
dengan hanya mengutip cukai sebanyaknya.
MOHAMED AZMIN ALI
No comments:
Post a Comment
Please Say Or Write Something, Thank You !