BRAHMA MENIPU PARIA CELARU
Menyelami Fikrah UMNO
Apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran ahli dan penyokong UMNO? Kepercayaan apa yang terpasak dalam hati mereka? Adakah benar mereka menyokong UMNO kerana menjiwai idealisme perjuangan bangsa? Benarkah akal dan kalbu mereka sebati dengan fahaman kebangsaan (nasionalisme)? Benarkah mereka bangga dan kasih kepada bangsa mereka sehingga sedia berenang di lautan api dan sanggup bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir demi memartabatkan ketuanan bangsa iaitu ketuanan Melayu?
Kajian ini amat penting jika kita serius mahu menganjak persepsi dan merobah hala-tuju bangsa Melayu dalam hal dan urusan politik.
Melayu yang dari awal lagi sudah UMNO memang sukar dirobah pendiriannya. Melayu remaja dan muda yang terdedah kepada dunia maklumat pun masih terus ada yang mengisi borang permohonan keahlian UMNO. Melayu yang pernah menyertai parti politik lain (PAS, PKR, HAMIM, BERJASA dan lain-lain) juga ada yang kini menyertai atau menyokong UMNO.
Pesaing utama UMNO di pasaran politik bangsa Melayu sejak pra-merdeka hingga kini ialah PAS. Keahlian PAS terus meningkat. Anak muda Melayu yang berpelajaran lebih cenderong memilih PAS. Sejak DS Anwar Ibrahim meninggalkan UMNO, ramai belia dan pemuda berpelajaran memilih PKN dan kini PKR sebagai wadah politik. Namun UMNO masih ada daya untuk terus berkayuh. Pewujudan Putera dan Puteri UMNO berhasil juga memberi nafas bonus kepada UMNO. Dua sayap baru ini menjadi sumber bagi Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO untuk merekrut keahlian. Gelanggang tempur politik ini masih imbang kekuatan antara peserta-pesertanya.
Kenapa Melayu UMNO masih mahu kekal dengan UMNO? Apa yang ada dalam UMNO?
Sesungguhnya tiada idealisme apa pun yang dijiwai oleh pemimpin UMNO atau ahli biasanya. Nasionalisme atau semangat kebangsaan Melayu telah lama hilang dari kamus dan diari perjuangan UMNO. Hakikat sebuah 'perjuangan' itu pun sebenarnya sudah pupus. Ketuanan Melayu hanya ada di mulut pemimpin UMNO tapi tiada di fikiran dan jauh sekali di hati. Melayu di tangan UMNO sudah lama hilang martabat sebagai 'tuan'. Melayu UMNO tahu betapa Melayu bukan lagi tuan di Tanah Melayu. Namun mereka tak mahu menginsafi bahawa Melayu hari ini hanya tuan di mulut tetapi tidak di mata dan di hati.
Bahasa yang kononnya jiwa bangsa itu pun diterajang oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO dengan memaksakan PPSMI. Pemimpin kecil dan ahli UMNO angguk saja. Mujurlah akhirnya UMNO kelihatan mahu menimbang semula untuk menarik balik keterlanjuran itu setelah bertahun-tahun Melayu PAS, Melayu PKR, Melayu NGO dan Melayu karyawan membangkang polisi itu.
UMNO juga gagal mempertahankan budaya bangsa Melayu, malah istilah budaya itu sendiri pun gagal difahami. Budaya dari sudut pandang UMNO hanya berkisar pada laku seni dan libur. Budaya yang dimartabatkan oleh UMNO hanya berlegar di medan nyanyi, tari, lakon dan pementasan klasik seumpama Mak Yong dan Menora. Kerana sudut pandang itulah maka kementerian yang menguruskan budaya cuma diberi tugas yang berkisar di FINAS, Istana Budaya dan industri perfileman selain dari sedikit tanggungjawab berkaitan warisan sejarah.
Budaya Melayu yang sebenarnya adalah pada seluruh prinsip dan nilai kehidupan bangsa kita bertunjangkan aqidah Islam sebagai sistemnya. Budaya Melayu itu adalah pada sopan santun keperibadian, keprihatinan bertolong-tolongan, kerukunan hubungan bermasyarakat, kesanggupan berkorban harta dan nyawa demi keyakinan, kegigihan meneroka kejayaan dan pelbagai keazaman murni yang hebat belaka.
Mana satu budaya Melayu yang berjaya dimartabatkan oleh UMNO? Budaya Balck Metal? Budaya buang anak? Budaya hisap dadah? Budaya tukar agama? Budaya jantan betina berpeleseran dan bersekedudukan? Budaya beri dan minta rasuah? Budaya bolot harta rakyat? Budaya berebut pangkat? Budaya ugut? Budaya buta Quran? Budaya rempit?
UMNO selamanya menafikan pertanggungjawaban mereka atas kehancuran jati diri anak bangsa seperti yang dinyatakan ini. UMNO menyalahkan ibubapa yang mendidik dan guru-guru yang mengajar. UMNO tak mahu menginsafi betapa puncanya ialah persekitaran busuk yang mereka sediakan melalui dasar yang diperkenalkan sejak merdeka. Namun begitulah mentaliti UMNO!
Baki nyawa UMNO yang masih liat itu berdenyut dalam diri ahli UMNO di peringkat cawangan. Di level itulah UMNO bertapak teguh. Pemimpin UMNO yang tak menggalas sebarang wawasan bangsa itu tetap dapat bersinggahsana di tampuk kuasa dengan sokongan, kerja dan undi ahli UMNO peringkat cawangan. Panglima dan pendekar UMNO level cawangan yang 'agi idup agi ngelaban' itu adalah kelompok yang tak mungkin sampai kemana-mana dalam hiraki UMNO tapi merekalah nyawa sebenar UMNO.
Kenapa mereka begitu setia?
UMNO level itu kekal setia kerana masih percaya bahawa parti mereka adalah wadah bangsa dan pemimpin mereka adalah pejuang bangsa. Mereka percaya bangsa Melayu sedang terancam. Bangsa lain sedang melangkah untuk merampas hak Melayu. Ketuanan Bangsa @ Ketuanan Melayu sedang digugat. Parti Melayu tulen hanyalah UMNO. Maka sebagai anak Melayu "aku wajib bersama UMNO demi mempertahankan ketuanan, kedaulatan dan hak bangsa'. Melayu jenis ini pasti melompat marah jika UMNO dipertikai apatah lagi dihina.
Melayu UMNO level paling bawah tapi paling ramai jumlahnya ini yakin bahawa tanahair merdeka ini adalah hasil mahsul perjuangan UMNO. Tanpa UMNO tiadalah merdeka. Maka membenci UMNO adalah kufur nikmat manakala menentang UMNO adalah khianat. Mereka mengakui UMNO ada salah dan silap tapi meninggalkan UMNO tetap tak patut. Salah silap dalam UMNO perlu diperbetulkan dari dalam UMNO sendiri. Sejarah perjuangan UMNO memerdekakan negara tak harus dilupakan begitu saja. Bumi mana tak ditimpa hujan? Dek kerana itu, sebusuk mana sekalipun UMNO, ia tetap wadah kebanggaan bangsa yang mesti dipertahankan. Aduh!
UMNO level ini juga amat sentimental dengan sekupang dua yang pernah dihulurkan oleh kerajaan UMNO sepanjang hidup mereka. Sekupang dua bantuan dan sekangkang dua kangkang tanah yang diterima itu tersemat kukuh sebagai 'jasa' UMNO yang wajib dikenang dan di balas.
"Semua orang ada baik dan ada buruk. UMNO ada baik dan buruk. PAS ada baik dan buruk. PKR ada baik dan buruk. Seburuk manapun UMNO, baiknya tetap ada. Yang baik itu kita nak buang ke mana? PAS bagus tapi hal apa yang PAS pernah berjasa kepada kami? PKR baru berapa tahun saja umurnya. Tak payah tanyalah tentang jasa!" Begitulah kenyataan sebenar seorang ahli UMNO level ini yang pernah jadi ketua pemuda UMNO cawangan 20 tahun dulu.
Pemimpin UMNO boleh diiktiraf berjaya men'doktrin'kan dalam jiwa Melayu level paling bawah ini tentang 'jasa-setia-kenang-balas' yang mereka projekkan dengan belanja besar. Media elektronik, media cetak, BTN, JASA, JAKIM, IKIM dan sekelian jentera yang berkaitan telah melaksanakan tugas dengan baik. Rakyat yang sekolah sikit-sikit sahaja dan kemudiannya jadi ahli UMNO memang beraqidah sungguh-sungguh dengan rukun 'jasa' ini. Aduh!
Kalau di India dulukala darjat paling tinggi ialah Brahma dan paling rendah bernama Paria. Bila-bila pun si Brahma akan memperkuda si Paria. Titah Brahma titah keramat. Darjat Paria wajib mengiakan segalanya. Benar atau palsu bukan soalnya. Begitu jugalah jadinya dengan UMNO. Titah pemimpin besar UMNO umpama wahyu kerana mereka telah berjaya mem'brahma'kan diri mereka. UMNO level cawangan telah di'paria'kan oleh brahma Presiden, brahma Timbalan, brahma Naib dan brahma MT. Pemimpin UMNO Bahagian pun kadang-kadang nak jadi brahma.
Banyaklah wahyu dan sabda Brahma UMNO yang tersemat kukuh difikiran dan jiwa UMNO Paria. Kerana wahyu dan sabda itulah maka PAS kekal ekstremis di mata paria. PKR hanya demi Anwar. DAP komunis. Pakatan Rakyat ganas. Pilih PAS mundur. Pilih PKR, hilanglah ketuanan bangsa. Undi Pakatan Rakyat, DAP yang jadi raja. Undi DAP masuk neraka. Undi DAP merempatlah bangsa.
Kesimpulannya, kalau kita serius nak membina Malaysia baru yang bebas daripada politik rasuah dan budaya C4 maka kita mesti mencari jalan untuk memecahkan tembok minda Melayu UMNO level paling bawah ini. Kita mesti suluh jalan dan bimbing tangan mereka. Kekudusan brahma UMNO dalam minda paria mesti dihancurkan dengan C4. Peduli apa? Nanti biar Sirul yang tanggung akibatnya!