Sudah lama saya hendak menyebut
secara khusus tentang apa yang saya hendak perkatakan ini walaupun saya pernah
menulis tentangnya secara rambang dan tidak khusus kepada sesiapa yang hendak
bercakap tentang kenegaraan dan politik. Tetapi oleh kerana kita dapati
kesilapan ini masih terlalu jelas dan tidak diperbaiki saya ingin menyebutnya
kali ini.
Saya ingin mengingatkan
pemimpin-pemimpin kita dan semua yang mahu mendengarnya bahawa negara kita ini
adalah sebuah negara persekutuan. Di negara kita tidak ada kerajaan pusat. Di
Putrajaya itu adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan (federal government), bukan kerajaan
pusat (central government).
Negara yang mempunyai kerajaan
pusat adalah negara-negara ‘unitary’ seperti Thailand,
Indonesia
dan banyak negara-negara lain. Negara
kita terbentuk di atas persetujuan kerajaan-kerajaan negeri yang berdaulat
untuk membentuk bersama sebuah gabungan persekutuan. Harus diingat yang
negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan ini hanya wujud pada 2hb Feb
1948 apabila negeri-negeri yang berada di dalam semenanjung ini menandatangani
perjanjian persekutuan itu.
Maka terbentuklah sebuah negara
persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya mencapai
kemerdekaan pada 1957 dahulu. Pada tahun 1963 tanggal 16 September persekutuan
ini disertai oleh Sabah dan Sarawak maka persekutuan ini dinamakan Persekutuan
Malaysia.
Hari kelahiran Malaysia
itu baru sahaja dirayakan buat kali yang ke-49 dua hari yang lepas.
Isu ini penting untuk difahami
dan diperbetulkan supaya kita mengenal negara kita yang sebenarnya. Dato Rais
Yatim patut menggunakan istilah ini melalui media perdana kita kerana terlalu
ramai di kalangan rakyat yang menganggap Putrajaya itu sebagai pusat pentadbiran
kerajaan pusat, walhal ia adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.
Kalau di Thailand, kotaraya Bangkok itu adalah pusat pentadbiran kerajaan pusat kerana
Thailand
adalah sebuah negara ‘unitary’ dan negara gajah putih itu tidak ada kerajaan
negeri di bawah naungannya. Itu sebabnya
kerajaan pusat Thailand
secara moralnya berkuasa sepenuhnya ke atas
setiap inci negara itu.
Nampaknya pemimpin besar kita di
Putrajaya selalu bersikap seperti pemimpin sebuah negara ‘unitary’ kerana
banyak perkara yang menunjukan mereka tidak menghormati kedaulatan kerajaan dan
rakyat negeri-negeri yang tertentu. Mereka mungkin terlupa yang Malaysia ini
adalah gabungan negeri-negeri yang berdaulat yang telah bersetuju dan
bersepakat untuk berada di dalam sebuah negara persekutuan.
Jika begitu keadaannya maka Putrajaya
tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya terhadap negeri-negeri yang
berada di dalam persekutuan ini seperti yang sedang mereka lakukan sekarang
ini. Putrajaya wajar ingat yang negeri-negeri di dalam persekutuan ini adalah
negeri-negeri yang berdaulat dan Putrajaya wajar mempunyai perhubungan dengan
negeri-negeri di dalam persekutuan dengan berhemah seperti kita menghormati
mana-mana negara yang berdaulat yang lain. Putrajaya juga mesti menerima
hakikat yang negeri-negeri itu semuanya mempunyai kerajaan yang beraja (kecuali
Melaka. P Pinang Sabah dan Sarawak) dan
negeri-negeri ini juga mempunyai Dewan Lagisltif mereka sendiri.
Tetapi mungkin isu ini tidak diambil berat oleh pihak pemerintah, itulah agaknya kenapa kerajaan BN di
Putrajaya itu selalu tidak menghormati kerajaan-kerajaan setengah negeri
terutamanya kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Agaknya inilah
sebabnya Putrajaya telah mencemari semangat persekutuan itu dengan menyekat
pembayaran royalti minyak kepada rakyat Kelantan semata-mata kerana rakyat Kelantan
memilih kerajaan yang tidak sebulu dengan Putrajaya.
Dalam ucapan Najib akhir-akhir
ini menunjukan kesombongannya yang berkata kerajaan ‘pusat’ telah memberikan
pembangunan di negeri itu sebanyak ini dan di negeri ini sebanyak ini
seolah-olah itu bukan tanggungjawab Putrajaya tetapi sebagai satu ‘favor’ yang
besar dari Putrajaya. Semuanya itu sememangnya tanggungjawab kerajaan
persekutuan. Najib sendiri mesti menggunakan istilah ‘kerajaan persekutuan’
kepada kerajaan yang beliau pimpin dan bukannya ‘kerajaan pusat’.
Sebelum kita dapat membetulkan
perkara-perkara yang lain elok kita memahami dahulu asas kewujudan
negara kita.
Jika boleh gunakanlah istilah yang betul tentang perkara ini. Kerajaan
yang diketuai oleh Najib di Putrajaya itu adalah kerajaan persekutuan,
bukannya
kerajaan pusat.
Pihak yang ingin mewujudkan
kerajaan ‘unitary’ yang berpusat di Kuala Lumpur
dahulu ialah gagasan Malayan Union yang hendak dibawa oleh British dahulu dan
telah ditentang oleh rakyat Malaya dahulu.
British telah cuba
untuk menghilangkan sempadan-sempadan negeri-negeri di dalam semenanjung ini dan
merampas kuasa Raja-Raja Melayu dan dan menggantikan tugas Raja-Raja itu dengan
tugas-tugas ceremonial sahaja. Mengikut perancang British Kuala Lumpur adalah
ibu negara Malayan Union itu….tidak ada kerajaan negeri dan Dewan Legislatifnya
lagi.
Kepada Najib dan semua pemimpin
kerajaan pada hari ini elok dibezakan di antara kerajaan persekutuan
dengan
kerajaan pusat. Kalau kerajaan kita adalah kerajaan pusat tidak ada
Majlis Raja-Raja yang mewakili setiap negeri yang berdaulat itu dan
mewakili salah seorang dari baginda untuk mengambil giliran menjadi Yang
Di Pertuan Agong setiap lima tahun seorang di peringkat persekutan.
Di negara ini tidak ada kerajaan
pusat. Yang kita ada ini adalah kerajaan persekutuan, walaupun dalam
banyak hal Putrajaya bertindak seperti kerajaan ‘unitary’ yang ingin
dibawa oleh Malayan
Union dahulu terutamanya kepada negeri-negeri yang partinya sudah hilang
kuasa.
Itulah saya selalu sebutkan dalam
tulisan saya, jika Malayan Union dahulu ditentang kewujudannya oleh kita tetapi
semangat Malayan Union itu bertambah kuat akhir-akhir ini, tetapi dilakukan
oleh bangsa dan rakyat kita sendiri.
No comments:
Post a Comment
Please Say Or Write Something, Thank You !