“Respirar y Disfrutar De La Vida Que Es Muy Corta”
"Politicians are like diapers. They both need changing regularly and for the same reason"
Orang Melayu perlu merdekakan jiwa dan minda
Kita sudah sampai ke penghujung penggal pilihanraya dan pemilihan itu
akan diadakan dalam beberapa minggu sahaja lagi. Kali ini merupakan
pilihanraya yang berkeadaan yang paling rumit dan mencabar bagi BN dan
masa yang paling baik bagi Pakatan Rakyat untuk menunjukkan mereka (PR)
sebagai ‘coalition’ alternatif yang akan menjadi pengganti kepada
pemerintahan BN. UMNO sudah dianggap terlalu usang oleh sebahagian besar
rakyat negara ini.
Tanda yang paling jelas UMNO itu usang ialah ketidak-mampuan untuk
mengubah keadaan dan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu dengan
keseluruhan kepimpinannya. Banyak pihak telah mengkritik dan memberikan
pandangan yang berbagai-bagai untuk memperbaiki parti itu tetapi UMNO
tetap dengan sikap dan perangai yang sama tanpa ada tanda-tanda untuk
berubah kepada kebaikan.
Segala kesalahan moral dan jenayah yang dilakukan oleh UMNO dan BN
selama ini tetap terus berlaku dan rakyat sudah tiada pilihan selain
dari melakukan yang drastik terhadap parti pemerintah itu. Betul lah
kata setengah pendapat orang, keadaan ini adalah kehendak yang ‘natural’
dan ianya berlaku kepada semua parti-parti dan pertubuhan siasah yang
sudah lama dan usang dimana-mana.
Ahli-ahli serta penyokong-penyokong tegar UMNO masih dalam sindrom
penafian dan masih bertegas mengatakan UMNO akan menang dan ada yang
mengatakan yang parti itu akan mendapat sokongan 2/3 dalam Dewan
Parlimen kali ini. Tetapi hakikatnya tindakan mereka hanyalah untuk
menyedapkan hati mereka sahaja kerana keadaan sebenarnya adalah di
sebaliknya.
UMNO masih terkial-kial dengan masalah dalaman mereka sendiri dan
masalah seperti ini tidak memungkinkan mampu untuk memperbaiki peluang
UMNO untuk mendapatkan mandat yang lebih baik. Malahan parti itu akan
bertambah merudum dan akan terbukti dalam pilihanraya yang akan datang
ini. Kalau UMNO hendak berubah pun ia terpaksa berlaku sebelum
pilihanraya ini dan masa untuk membetulkannya sudah terlalu suntuk untuk
melakukannya.
Persoalannya apakah yang patut dilakukan oleh UMNO dalam masa yang amat
suntuk ini jika ia masih mahu melihat sedikit saki baki kehadirannya
dalam politik negara ini? Pertamanya mampukah UMNO melakukan perubahan
dengan melakukan tindakan yang drastik dengan menggantikan keseluruhan
barisan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti dengan pemimpin parti itu
yang tiada dalam barisan kerajaan dan MKT parti itu. UMNO tidak sedar
yang masalah terbesar parti itu ialah di sebabkan persepsi buruk yang
tidak terkira buruknya.
Menggantikan barisan kepimpinan dengan orang lain secara keseluruhan
adalah satu-satunya jalan bagi parti itu untuk dipandang oleh rakyat.
UMNO sudah tidak dipandang lagi oleh rakyat, malahan ia tidak dihormati
oleh ahli-ahlinya sendiri. Itulah sebabnya Najib boleh berikan bantuan
BRIM1, BRIM2 dan apa-apa ‘Rim’ yang lain tetapi rakyat tetap tidak
melihat UMNO itu sebagai parti yang relevan sekarang ini. Maksud saya
rakyat sudah tidak senang dengan kehadiran UMNO itu sendiri. Itu
masalahnya.
Justeru, UMNO perlu membuang semua yang ada di dalam barisan MKT serta
barisan kabinet sekarang ini. Tindakan setengah pimpinan dalam UMNO
untuk menggantikan Najib dengan Muhyiddin tidak akan membawa apa-apa
keuntungan kepada UMNO itu. Mereka semuanya adalah hasil dari acuan yang
sama seperti yang di bentuik oleh Dr Mahathir dahulu. Orang yang patut
menggantikan pimpinan UMNO ini seharusnya dari mereka yang tidak
bersetuju dengan acuan ciptaan Mahathir ini kerana itu sahaja caranya
UMNO untk menempilkan kepada rakyat yang UMNO sekarang adalah berimej
baru dan ia akan membawa dan membina keyakinan yang baru.
Saya telah lama menyebut ini semasa saya masih berada di dalam parti itu
tetapi saya tidak digemari oleh pimpinan terutamanya di peringkat
negeri. Kesabaran saya sudah habis dan saya telah begitu yakin yang UMNO
tidak akan boleh baik lagi maka itu sebabnya saya meninggalkan parti
itu dan mengambil keputusan ‘to grow old with DAP’ dan tidak akan
berpatah balik. Tindakan saya itu telah mengundng banyak sokongan dan
hanya saya sahaja yang merasakannya.
Ramai orang Melayu di dalam UMNO telah menyuarakan sokongan terhadap
tindakan saya itu dan saya membacanya melalui e-mail saya setiap hari
sehingga hari ini. Saya merasakan degup nadi orang Melayu yang sudah
tidak melihat UMNO sebagi parti yang relevan lagi. Tindakan saya bersama
beberapa rakan yang lain telah membuka minda setengah orang Melayu dan
mereka sekarang merasakan yang jika UMNO tiada orang Melayu tetap wujud
bersama agamanya yang tidak terguris dan tercalar.
Rupa-rupanya momokan UMNO yang mengaku parti itu sahaja yang menentukan
masa depan orang Melayu itu tidak memberi makna apa-apa kepada kita
semua. Ia hanyalah momokan UMNO semata-mata tidak lebih dari itu. Di
negara ini ada seramai 18 juta orang Melayu dan Bumiputra dan yang
menjadi ahli UMNO hanyalah 3 juta sahaja. Selebihnya tidak menjadi ahli
UMNO pun tetapi mereka tetap dengan Melayu dan Islamnya.
Malahan kumpulan ini tetap hidup dalam keadaan yang lebih baik kerana
pemikiran mereka tidak ditentukan oleh UMNO. Mereka berfikir dengan
pemikiran bebas mereka. Mereka bersikap lebih positif dan tidak
bersandar kepada UMNO untuk meneruskan kehidupan mereka membina keluarga
dan keturunan mereka denagn baik. Pemikiran mereka tidak dikongkong
oleh retorik lapuk UMNO yang mengatakan ‘melayu akan hilang di dunia’
ini jika UMNO ditolak oleh rakyat. Mereka pula mempunyai pendapat
berlainan dan terbukti benar. Mereka berfikir jika UMNO masih di
benarkan memomokan mereka, ‘melayu itu akan hilang dunianya’.
Pilihanraya ini merupakan peluang untuk orang Melayu untuk memerdekakan
pemikiran mereka dan menjauhi momokan UMNO yang membunuh kemajuan
pemikiran kita semua.
Merdeka!
Aspan Alias
No comments:
Post a Comment
Please Say Or Write Something, Thank You !