Ke mana perginya kelas menengah Melayu?
NURUL IZZAH ANWAR
5 Februari 2013
Satu ketika dahulu ada disebut bahawa pembangunan dan perkembangan kelas menengah Melayu menjadi agenda utama kerajaan.
Tetapi setelah sekian lama – ada yang kata sudah 43 tahun semenjak DEB
diperkenalkan dan ada yang kata sudah 56 tahun semenjak merdeka lagi –
kelas menengah Melayu tidak banyak kelihatan, malah kelas bawahan Melayu
pula makin bertambah.
Sebanyak 80% rumah tangga di Malaysia, berpendapatan kurang dari RM3,000
layak menerima BR1M. Jangan pula disebut tentang 32% rakyat Malaysia
yang mempunyai pendapatan isi rumah dibawah RM1,500 adalah Melayu.
Satu bukti jelas yang ramai terlepas pandang adalah dengan perlunya
kerajaan mengadakan BR1M yang rata-rata penerima adalah Melayu hanya
membuktikan kegagalan kerajaan BN untuk ‘membebaskan’ serta
‘memartabatkan’ prestasi ekonomi Melayu. sebaliknya bantuan ini
menambahkan kadar hutang negara sehingga RM700 billion (termasuk hutang
yang dijamin kerajaan untuk GLC) – yang sebenarnya menjadikan rakyat
berhutang untuk menerima bantuan itu sendiri -sesuatu yang tragik.
Orang Melayu tidak mahu BR1M, PR1MA, BL1M dan banyak lagi bantuan yang
bersifat sementara dan semakin hari nampaknya merupakan ‘gula-gula’
pilihanraya sementara golongan elit pula terus mendapat ‘kilang
gula-gula’.
Orang Melayu mahu peluang sama rata dengan golongan elit Melayu yang
kebetulan rapat dan intim dengan parti pemerintah yang lebih cenderung
‘memerdekakan’ ekonomi keluarga dan kroni daripada majoriti Melayu yang
dipinggirkan.
Jurang kemiskinan makin membesar sedangkan jerung-jerung kekayaan makin rakus.
Lihat sahaja kepada Indeks Gini, nisbah terkaya dengan termiskin, 46%
yang meletakkan negara pada tahap di antara yang tertinggi di Asia.
Lihat sahaja tahap PLI (Poverty Line Income atau Garis Pendapatan
Miskin) yang menjadi penanda aras kemiskinan diguna kerajaan – Rm800.
Jumlah ini ‘menutup’ kadar sebenar yang disarankan institusi kewangan
antarabangsa yang meletakkannya pada RM1,500 – bila digunapakai
meletakkan hampir 10 juta orang Melayu dewasa dikategori miskin.
Oleh kerana 10 juta Melayu dewasa masih miskin jika dibandingkan dengan
hanya orang Melayu yang dikatakan kaya raya sehingga bilangan Melayu
kelas menengah terus mendatar dengan anggaran tidak melebihi 100,000
menjelaskan kepada kita mengapa isu-isu emosi seperti agama dan bangsa
terus digunakan untuk mengalih pandangan serta digunakan agar Melayu
yang dikatakan oleh seorang mantan pemimpin tertinggi ‘mudah lupa’ –
akan bukan saja lupa kemiskinan mereka tetapi yang lebih penting
melupakan siapa yang sebenar mengekalkan kemiskinan mereka.
Apabila ditanya penduduk Melayu di seluruh negara seperti di kampung
atau di FELDA atau di Lembah Pantai terutamanya generasi muda dan wanita
– adakah mereka ada harapan untuk menjadi Melayu Kelas Menengah,
rata-rata jawapannya adalah tidak.
Paling pun katalah mereka dapat membeli rumah PPR, itu pun dengan
bayaran faedah 6.5%. Walaupun mereka tahu jika menjadi kelas
menengah,mereka akan dapat membeli rumah di Bangsar atau Kota Damansara
dengan kadar faedah yang lebih rendah.
Paling kata peneroka FELDA dapat lah berhutang membeli saham yang tidak
banyak mana pun di mana harga saham pasti jatuh di bawah harga yang
dibeli jika tidak di ‘selamatkan’ institusi-institusi kewangan kerajaan
seperti EPF.
Paling pun kata mereka dapat membeli kereta nasional yang tinggi
harganya dengan pinjaman kereta bertahun-tahun dengan masalah parkir
yang tidak berkesudahan walaupun seringkali melihat anak-anak menteri
memandu kereta mewah yang harga sebuah adalah sama seperti gaji 20 tahun
rakyat teramai.
Jangan pula hendak melihat atau merasa gaya hidup mewah, gaya fesyen
hebat, beg tangan dan perhiasan cincin termahal yang hanya mampu
dinikmati mereka yang menjadi jutawan projek RM36 juta pada usia muda
atau menikmati projek percuma RM250 juta atau berjaya menabung dari
kecil lagi.
Ini bertambah merungsingkan apabila harapan atau matlamat penduduk hanya
untuk ‘kais pagi makan pagi’ agar pendapatan yang diperolehi cukup
tanpa perlu bantuan Ah Long atau Ah Jib untuk menyara kos hidup yang
jelas semakin tinggi apabila harga barang semakin hari naik kerana ada
monopoli beras dan gula yang sepatutnya mengurangkan bukan menambahkan
harga.
Sudah lah tanah pesaka diambang tergadai diatas nama pembangunan yang
hanya menguntungkan pemaju sehinggakan bukan sahaja tanah kehilangan
malah nama pesaka seperti Kerinchi turut hilang dan digantikan dengan
nama Bangsar South atau nama Kampong Abdullah Hukom digantikan dengan
nama yang langsung tidak memartabatkan bahasa kebangsaan iatu KL
Eco-City. Adakah nama Kampung Baru juga akan ditukarkan kepada New Town
oleh menteri yang dikenali sebagai mewakili kepentingan pemaju tanah
kaya raya?
Sudah lah semua projek besar-besar berbillion ringgit termasuk
penswastaan penjana letrik yang tarifnya lebih tinggi dari negara jiran
yang tiada banyak minyak dan gas, air yang seringkala kering di pili
ketika hujan lebat turun, konsesi lebuhraya dengan tol yang mengosongkan
poket seperti dicuri tol-yol, komisen peralatan dan pembelian harta
kerajaan yang berlipat ganda sehingga menyebabkan negara mendapat
gelaran negara aliran wang haram hampir RM1 trillion kedua paling
tertinggi di dunia! Kekayaan hanya terpusat kepada golongan elit kecil
yang bilangannya boleh dikira dengan bukan semua jemari satu tangan –
sedangkan beratus malah beribu usahawan Melayu yang berupaya telah
dihilangkan upaya bersaing melalui amalan kronisme atau kertas kerja
bisnes di ‘curi’.
Sudah lah sistem pendidikan negara semakin merudum sehingga berbagai
pelan tindakan masih belum bertindak dan kos pengajian tinggi semakin
tinggi sehingga yuran yang terpaksa dipinjam serta dipaksa bayar balik
walaupun bertahun tidak dapat peluang pekerjaan setaraf sijil hanya
untuk membayar IPTS milik golongan elit kecil.
Bagaimana hendak diwujudkan kelas menengah Melayu apabila pimpinan
kerajaan tertinggi sendiri mengaku masih tidak ada ‘formula’ melainkan
menghadiahkan dengan duit rakyat sendiri hanya empat biji tayar untuk
pemandu teksi yang jelas pula tidak memiliki teksi tersebut kerana
permit teksi sebenar hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja
-membangunkan agenda ekonomi melayu yang mapan – kerana mengatakan
terlalu sibuk membetulkan kesilapan dasar-dasar atau lebih tepat lagi
amalan ekonomi kroni dua pemimpin-pemimpin yang lepas?
Ini adalah agaknya nasib Melayu apabila 62 NGO Melayu seperti Majlis
Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta kerajaan BN untuk memperkasakan
ekonomi Melayu didalam lautan akronim ETP, NKRA dan NTA; akhirnya dapat
bukan agensi Teraju tetapi hanya Terajang.
Ke mana perginya kelas menengah Melayu? Tanya lah UM…
Versi Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ke-mana-kelas-menengah-melayu-1.128235
No comments:
Post a Comment
Please Say Or Write Something, Thank You !